December 31, 2011

aku c3mbuRu~

Di hening pagi
ketika sang suria masih lagi samar-samar memancar cahayanya
ketika dedaun masih basah disirami embun
ketika seluruh alam masih lagi sunyi
diriku hanya bertemankan sepi.

Aku melihat alam ciptaan Allah,
langit yang membiru dan terbentang luas
pokok-pokok hijau yang tak henti berzikir kepada Allah,
kerdil aku rasakan dihadapanMu, yaAllah.
Aku tertunduk,
tubir mata mula digenangi air jernih
aku hanyut dibawa bayangan minda.

Peristiwa-peristiwa semalam,
seringkali menerjah minda,
biarpun cuba dipadam dan dilupa,
namun parut tidak akan pergi begitu sahaja.
Pengalaman hidup jauh dari redhaNya
membuatku benar-benar derita,
tidak mahu aku kembali kejalan yang sama.

Ya Allah, aku cemburu,
Aku cemburu kepada mereka,
mereka yang mempunyai hati yang penuh rasa cinta,
cinta kepadaMu wahai tuhan yang menciptakanku.
jiwa mereka dihiasi dengan semangat jihad
hati mereka diterangi dengan nur cinta yang abadi
iman memenuhi kamar sanubari
jiwa perjuangan sedia mereka tempuhi
walaupun mempunyai ranjau yang melukai.

Segala dugaan yang mendatang
dengan tabah mereka lalui
setiap tomahan dan cacian
tidak pula mereka peduli
kerana hati mereka begitu asyik
terleka dan tenggelam oleh manisnya cinta.

Sedang aku disini
dalam kesamaran masih tercari-cari
kemanakah hala tuju diri
setiap kelemahan berdikit-dikit ku cuba baiki
membersihkan kembali segumpal darah yang bernama hati
iman yang baru mula untuk berbuah
aku rasa begitu payah untuk dipertahankan.

Betapa hebatnya peperangan,
yang terjadi antara iman dan nafsu.
Terkadang aku berasa ingin berhenti,
berhenti untuk meneruskan langkah ini,
tetapi aku tahu,
bukan mudah untuk menggapai cinta hakiki.
pengorbanan dan kesakitan harus aku lalui
demi sebuah pengakhiran yang bahagia,
iaitu sebuah tempat disyurga yang kudamba.

Hembusan bayu menyedarkanku kembali,
Ya Allah Ya Rabbi,
cintaMu menjadi dambaanku.
Dalam keheningan pagi ini
aku menadahkan tangan
bermohon dan merayu kepadaMU
ampunkanlah segala dosa-dosaku
walau amat berat dugaan yang Engkau berikan
demi setitis cinta aku relakan.
Ya Allah,... berikanlah aku kekuatan.
Amiin~

No comments:

Post a Comment